(VIDEO) Pusat kuarantin Covid-19 kem pelarian Rohingya terbakar.

DHAKA – Pusat kuarantin khas Covid-19 di kem pelarian Rohingya di Bangladesh musnah dalam kebakaran malam Ahad, namun tiada pesakit yang cedera, menurut sumber rasmi.

“Kebakaran berlaku kira-kira jam 7 malam waktu tempatan dan kami berjaya memadamkannya selepas dua jam bertungkus-lumus bersama-sama pelarian Rohingya dan penduduk tempatan,” kata pegawai Perkhidmatan Bomba dan Pertahanan Awam Ukhiya di Cox’s Bazaar kepada Agensi Anadolu.

Kesemua 12 pelarian Rohingya yang dikuarantin di pusat yang mempunyai 70 katil itu dilaporkan selamat dipindahkan ke lokasi lain, katanya.

Menurut beliau bomba masih menyiasat kejadian itu berdasarkan saksi dan keterangan setakat ini, kemungkinan ia berpunca daripada litar pintas.

Kebakaran besar di kem pelarian terbesar di dunia Mac lalu mengorbankan sekurang-kurangnya 15 mangsa dan memusnahkan lebih 10,000 pondok, termasuk sebuah hospital medan Turki.

Sejak penghujung 2017, kem-kem itu menempatkan kira-kira sejuta umat Islam Rohingya yang melarikan diri daripada kempen penganiayaan yang dianjurkan di negara jiran Myanmar.– Bernama