(VIDEO) Penuntut UUM Putus Kaki Di Pulau Caribbean Terkena Kipas Bot, Kini Tak Sedarkan Diri Di Hospital.

Global: Seorang penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) dilaporkan putus kaki kanan selepas terkena kipas bot ketika menjalani latihan menyelam di Dive Division Curacao di Caribbean pada Rabu lalu.

Memetik laporan Astro Awani, mangsa, Nur Nabilah Mohd Azhar, 25, kini berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan sedang dirawat di Hospital Curacao, Venezuela.

Difahamkan, Nur Nabila yang merupakan penuntut tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) sedang menjalani latihan amali selama enam bulan di negara tersebut.

Bapanya, Mohd Azhar Zakaria, 58, berkata kaki Nur Nabilah terpaksa dipotong dan lengan kanannya retak.

Menurutnya, Nur Nabilah juga baru tiga bulan berada di negara itu sejak berlepas ke sana pada 24 September lalu.

“Saya sampai, dia (isteri) menangis. Saya kata habis lah anak aku. Ya Allah, dia kata anak kita habis, kaki dia hancur dah kena kipas. Saya kata Ya Allah, lepas tu saya cuba bagi dia tenang, kalau kita menangis air mata darah pun tak boleh buat apa benda dah jadi dah. Cuma kita berdoa bagi dia selamat,” katanya kepada Astro Awani.

Dalam pada itu isterinya, Nor Manira Khalib, 57, berkata bahawa dia mengetahui mengenai kejadian yang menimpa anaknya sebaik menerima panggilan dari kenalan anaknya di sana yang dikenali sebagai “Seal.

Kaki anaknya dipercayai terkena kipas bot ketika sedang melatih dua doktor warga asing mengenai teknik menyelam.

Risau keadaan anaknya itu, dia dan suaminya berharap boleh berlepas ke negara itu namun mereka tidak mempunyai wang yang cukup iaitu kira-kira RM40,000 untuk ke sana.

“Kami hendak tahu kesihatan dia, keadaan dia macam mana. Asyik tanya daripada sana macam mana dari semasa ke semasa, tanya dia minta gambar apa semua, setiap waktu,” katanya.

Sementera itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UUM, Dr Hendrik Lamsali berkata pihaknya bersetuju untuk menanggung perbelanjaan ibu bapa Nur Nabilah dan seorang pengiring dari UUM ke Carribean untuk melihat keadaan mangsa.