(VIDEO) Patung Ronaldo dibenci di India.

Goa: Patung bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo yang baru dibina di India mencetuskan pelbagai reaksi.

Terletak di Barat negeri Goa di mana sukan bola sepak sangat popular di sana, kewujudan patung itu diharap dapat memberi inspirasi kepada golongan muda.

Bagaimanapun Goa juga pernah dijajah Portugal dan sudah 60 tahun negeri itu bebas daripada jajahan.

Pengkritik berkata, bintang bola sepak tempatan seharusnya diberi penghormatan terutama apabila beberapa pemain skuad kebangsaan India sejak dahulu sehingga sekarang berasal dari Goa.

“Sangat kecewa mendengar yang patung Ronaldo didirikan. Belajar untuk berbangga dengan ikon kita sendiri seperti Samir Naik dan Bruno Coutinho,” kata seorang penduduk Goa kepada agensi berita IANS.

Semasa majlis perasmian patung itu, beberapa orang mengibarkan bendera hitam sebagai tanda protes, lapor akhbar Times of India.

Pasukan bola sepak Portugal terkenal di Goa dan disebabkan pernah dijajah, ramai penduduk tempatan tinggal di Portugal atau mempunyai keluarga di sana.

Tetapi sesetengah rakyat di India berasakan adalah satu penghinaan mendirikan patung itu semasa sambutan ulang tahun ke-60 Goa bebas daripada dijajah Portugal.