(VIDEO) Ahli geologi temui ratusan tapak kaki dinosaur.

WARSAW: Ratusan tapak kaki dinasaur yang terpelihara dengan baik sehinggakan kulit bersisik pun boleh dilihat, telah ditemui di Poland, memberikan gambaran tentang ekosistem yang kompleks sekitar 200 juta tahun lalu, kata ahli geologi.

Disifatkan oleh Institut Geologi Poland sebagai ‘harta karun’, jejak dan tulang fosil ditemui di lombong tanah liat terbuka di Borkowice, 130 kilometer di selatan Warsaw.

“Dalam kesan tapak kaki yang ditinggalkan oleh dinosaur, anda boleh membaca perihal tingkah laku dan tabiat haiwan itu. Kami mempunyai kesan yang ditinggalkan oleh dinosaur berlari, berenang, berehat dan duduk,” kata ahli geologi Grzegorz Niedzwiedzki.

Tapak kaki terbesar dinosaur karnivor adalah 40 sentimeter (cm) panjang dan dalam banyak kes tekstur kulit boleh dilihat secara terperinci.

“Bagi memastikan keadaan pemeliharaan sedemikian dapat dilakukan, urutan peristiwa yang sangat khusus berlaku dalam jangka masa yang singkat itu,” kata ahli geologi Grzegorz Pienkowski.

Beberapa ratus tapak kaki dinosaur, mewakili sekurang-kurangnya tujuh spesies, telah ditemui dan ahli geologi mengatakan mereka mungkin akan menemui lebih banyak lagi.

Mereka juga telah menemui serpihan tulang daripada haiwan dan ikan.