Ucapan “Merry Christmas”, Mufti WP Perjelas Hukum Orang Islam Ucap Kepada Yang Beragama Kristian.

Nasional: Tanggal 25 Disember, Secara umumnya ia adalah tarikh sambutan Hari Krismas buat semua penganut agama Kristian.

 

Bagaimanapun bagi umat Islam, terdapat dua keadaan mengenai hukum mengucapkan “Merry Christmas” kepada mereka yang beragama Kristian.

 

Merujuk Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (WP), hukum pertama ialah haram. Jumhur ulama bagi keempat-empat mazhab mengharamkan ucapan ‘tahniah’ kepada orang bukan Islam sempena perayaan mereka.

 

Malah, umat Islam juga diharamkan untuk menyerupai serta menyambut perayaan orang bukan Islam. Hal ini bersandarkan kepada sabda Nabi Muhammad

 

“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia adalah dari kalangan mereka.”
Riwayat Abu Daud (4031) dan Al-Thabrani (8327)

 

Manakala hukum kedua pula ialah harus. Ulama silam kontemporari mengharuskan ucapan tahniah atas dasar mujamalah dan pergaulan baik sesama manusia.

 

Ia berikutan selagi mana tidak mengandungi syiar-syiar keagamaan mereka yang bercanggah dan tidak mengagungkan agama mereka.

 

Pendapat mufti WP mengenai ucapan “Merry Christmas”

Bagaimanapun pada pendapat Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat empat perbahasan mengenai status hukum mengucapkan “Merry Christmas” ini.

 

Menurut Mufti WP, umat Islam diharuskan untuk mengucapkan “Merry Christmas” apabila wujud keperluan. Namun sekiranya tidak wujud keperluan, maka hukumnya makruh.

 

Selain itu, ucapan itu hanyalah sebagai tanda menjaga hubungan baik dan tidak bertujuan mengagungkan dan memuliakan agama lain.

 

Dalam masa sama, umat Islam dibolehkan untuk menerima atau memberi hadiah, dengan niat bahawa ia bukanlah bersempena meraikan perayaan mereka.

 

Malah majlis sambutan yang disertai hanyalah pada kadar yang diperlukan sahaja seperti jamuan makan atau bergambar. Umat Islam sebaliknya dilarang memakai pakaian tertentu yang lazim dipakai semasa sambutan Krismas.