TMJ tunai hasrat kanak-kanak sakit jantung terbalik ke Legoland.

PONTIAN: Hasrat seorang kanak-kanak yang menderita penyakit jantung terbalik atau Mitral Valve Atresia mahu ke Legoland dekat sini sebelum hayatnya berakhir meruntun hati Tunku Mahkota Johor.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang tersentuh dengan impian Mohd Adam Amsyar Abd Rahman, 9, berkenan merealisasikannya dengan menanggung segala kos perbelanjaan untuk ke taman tema itu.

Kegembiraan tersebut dikongsikan Tunku Mahkota Johor dengan memuat naik tangkap layar perbualannya berhubung impian kanak-kanak tersebut dalam Instagram miliknya.

Mengikut perbualan dalam tangkap layar itu, seorang individu memberitahu Tunku Ismail bahawa dia akan menghubungi bapa kanak-kanak itu, Abd Rahman Ahmad, 47, selain sudah mengatur pergerakan, pembelian tiket dan penginapan kanak-kanak tersebut untuk ke Legoland.

“Bayar semua sekali keperluan anak ini. Saya tanggung,” balas Tunku Ismail dalam tangkap layar perbualan itu dalam Instagram miliknya.