Taliban arah penggal patung hiasan di luar kedai.

Kabul: Pemilik kedai di wilayah barat Herat diarahkan untuk memenggal kepala patung hiasan yang dipamerkan di premis mereka kerana dianggap sebagai ‘berhala’.

Portal The Sun melaporkan keputusan itu dikeluarkan kerajaan Taliban selepas secara rasmi mengambil alih pemerintahan negara itu.

Pada awalnya, Kementerian Penyebaran Kebajikan dan Pencegahan Maksiat di Herat mengarahkan pemilik premis perniagaan mengeluarkan patung itu sepenuhnya.

Namun, pemilik kedai mengeluh tindakan itu akan menjejaskan perniagaan mereka.

Sejurus itu, Ketua kementerian itu, Sheikh Aziz-u-Rahman mengarahkan kepala patung itu perlu dipotong.

Seorang pemilik kedai, Abdul Wadood Faiz Zada berkata, kepala patung itu sepatutnya ditutup dan bukannya dipenggal.

Katanya, setiap patung itu bernilai antara AS$70 hingga AS$100 (RM291-RM416) dan arahan itu menyebabkan kerugian terhadap perniagaan yang dijalankan.

Seorang pemilik kedai, Mohammad Yusuf berkata, Taliban tidak akan berubah dan selepas ini akan ada sekatan lagi.

“Mereka tidak mendapat pengiktirafan antarabangsa, tetapi sekiranya mereka memperolehnya, mereka akan mengembalikan sekatan yang lebih ketat,” katanya.