Suami cekal jaga isteri dan 4 orang anak lumpuh.

DUNGUN: “Saya reda dan akan berusaha memikul amanah ini dengan sebaik mungkin,” kata Jumahir Mahsun, 52, yang cekal menjaga isteri serta empat anak lelakinya yang lumpuh.

Jumahir berkata, empat daripada lima anaknya yang berusia 16 hingga 25, tidak mampu merangkak dan berjalan sejak umur satu tahun.

“Sebelum ini, saya memikul tanggungjawab bersama isteri, Rohayati Abdullah, 50, untuk menjaga dan menguruskan mereka.

“Kini, saya menggalas tugas itu sendirian selepas isteri tiba-tiba tidak dapat berjalan dan disahkan lumpuh sejak empat tahun lalu,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di FELDA Kertih 6, hari ini.

Beliau berkata, anak sulungnya, Ahmad Arif Aiman, 25, terlantar di atas katil sepanjang masa, manakala Ahmad Ariffin, 23; Ahmad Zainuddin, 17; dan Ahmad Budiman, 16, yang mengalami masalah sendi tangan serta kaki tidak mampu duduk dengan sempurna.

“Sebelum ini, saya ada membawa anak-anak ke hospital untuk rawatan dan terapi. Namun, saya tidak mempunyai kereta dan atas sebab masalah pengangkutan, saya tidak dapat lagi berbuat sedemikian.

“Kesemua mereka dan isteri juga terpaksa memakai lampin pakai buang, justeru saya perlu berbelanja lebih untuk menanggung kos berkenaan,” katanya.

Jumahir memaklumkan, beliau sebelum ini bekerja mengambil upah mengait kelapa sawit, namun terpaksa berhenti sejak isterinya lumpuh.

“Isteri dan anak-anak memerlukan penjagaan serta perhatian saya sepenuhnya, termasuk untuk menguruskan diri mereka. Keadaan itu menyebabkan saya tidak dapat keluar bekerja,” katanya.

Bagaimanapun, Jumahir berkata, beliau bersyukur kerana setiap anaknya itu diberikan bantuan bulanan sebanyak RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya perlu berjimat cermat menggunakan bantuan itu untuk membiayai perbelanjaan lampin pakai buang mereka dan makan minum kami sekeluarga.

“Tambahan pula, saya juga menggunakan wang bantuan itu untuk menampung lain-lain keperluan anak ketiga, Nor Hanisa yang sedang menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Ini kerana pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional yang diperolehnya perlu digunakan untuk membayar yuran pengajian dan membeli buku pelajaran,” katanya.

Jumahir berkata, mereka ada dikunjungi jiran tetangga yang bersimpati, termasuk menyumbangkan bantuan makanan.

“Saya sering menangis sendirian memikirkan nasib ini, dan saya tidak tahu apa nasib mereka semua sekiranya umur saya tidak panjang nanti,” katanya.

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Jumahir melalui talian 014-5401915.