Sindiket tidak ‘berhati perut’ pertaruhkan nyawa.

PUTRAJAYA: Tragedi malang bot karam membabitkan pendatang tanpa izin (PATI) boleh dielakkan sekiranya sindiket pemerdagangan manusia tidak bersekongkol menyeludup masuk ke negara ini melalui pintu masuk haram dengan mempertaruhkan nyawa ketika cuaca buruk.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Datuk Mohd Zubil Mat Som, berkata pihaknya turut berdukacita dan memandang serius kejadian meragut nyawa lebih 18 PATI selepas bot yang dinaiki dari Indonesia itu karam di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi pada Rabu lalu.

Menurutnya, insiden itu turut menambah kebimbangan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kerana angka sebenar PATI yang masih hilang dipercayai melebihi 17 individu hasil maklumat yang diperolehi daripada 14 mangsa yang terselamat.

Katanya, situasi itu memberi cabaran kepada aset-aset SAR yang terbabit melakukan pencarian selain terpaksa mengharungi keadaan laut yang bergelora ketika musim monsun.

“Berdasarkan rekod, sejak Op Benteng dilancarkan, bagi mengekang aktiviti penyeludupan PATI pada Mei tahun lalu semua aset agensi bawah koordinasi National Task Force sentiasa melaksanakan rondaan dan pemantauan yang ketat di perairan negara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pada Rabu lalu, media melaporkan sebuah bot pancung yang menyeludup kira-kira 60 PATI terbalik dan karam di perairan Tanjung Balau, Johor.

Mohd Zubil berkata, hampir setiap malam terdapat cubaan menyusup masuk ke negara ini namun dengan pemantauan Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) milik Maritim Malaysia berjaya mengesan 1,110 sasaran curiga dengan 689 yang diusir keluar dari perairan Malaysia.

Menurutnya, meskipun kawalan ketat di sempadan negara diuar-uarkan secara meluas, masih terdapat PATI yang berdegil untuk menyusup masuk hingga membawa padah.

Katanya, lebih malang sindiket penyeludupan langsung tidak berhati perut malah meneruskan aktiviti untuk mencari peluang dan meraih keuntungan tanpa memikirkan risiko.

“Dalam insiden cuaca buruk seperti ini, bot-bot pemintas penguat kuasa juga turut mengambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan aset dan kakitangan apatah lagi bot kecil seperti bot pancung yang tidak berupaya mengharungi ombak besar selain tidak dilengkapi peralatan keselamatan.

“Maritim Malaysia berharap tragedi menyayat hati ini dapat menjadi pengajaran dan membuka mata PATI dan sindiket penyeludupan agar tidak mempertaruhkan nyawa dengan melalui jalan yang tidak sah,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Zubil berkata, Maritim Malaysia akan terus memperketatkan kawalan di sempadan perairan negara terutamanya di kawasan panas seperti di Johor Timur yang menjadi laluan utama kemasukan PATI ke negara ini.

Katanya, pihaknya akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia menerusi perkongsian maklumat agar sindiket penyeludupan manusia dapat diburu dan ditumpaskan sehingga ke akar umbi.

“Sindiket yang ditahan boleh didakwa di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM 2007),” katanya.