MySejahtera Trace boleh dimuat turun hari ini.

KUALA LUMPUR: Aplikasi MySejahtera kini mempunyai satu ciri tambahan bagi membolehkan pengesanan kontak rapat kepada kes positif jangkitan COVID-19, boleh dimuat turun, hari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, menjelaskan fungsi baharu itu diperkenalkan dalam kemaskini terkini MySejahtera dikenali sebagai MySejahtera Trace (MySJ Trace).

“‘MySJ Trace’ menggunakan bluetooth untuk mengesan kontak rapat yang juga mengguna ciri yang sama.

“Ciri itu akan memberi maklumat secara live bilangan interaksi dengan pengguna lain yang juga aktifkan MySJ Trace.

“Jika anda disahkan positif, anda boleh hantar data interaksi kepada @KKMPutrajaya untuk proses pengesanan kontak dibuat. Semua data interaksi adalah anonymised.

“Ciri baharu ini sangat digalakkan apabila ke tempat awam dengan ‘setting indoor’ manakala ciri checkout tidak lagi dipakai,” katanya dalam Twitternya, hari ini.

Beliau menjelaskan, ciri itu sudah dihantar serentak ke Google, Apple dan Huawei.

“Sudah boleh dikemaskini di Huawei. Untuk Google & Apple masih menunggu mereka untuk menyenaraikan update baharu ini,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menjelaskan fungsi MySJ Trace dalam aplikasi MySejahtera diperkenalkan, bagi memudahkan pengesanan kontak rapat kepada kes positif jangkitan COVID-19 dengan menggunakan teknologi bluetooth.

Fungsi MySJ Trace dibangunkan bagi memenuhi keperluan program Find, Trace, Test, Isolate dan Support (FTTIS) dalam pencegahan dan mengawal penularan jangkitan COVID-19 .

Langkah itu dibuat bagi memastikan keberkesanan aktiviti pengesanan kontak rapat kepada kes positif jangkitan COVID-19.

“Pengguna mestilah mengaktifkan bluetooth dalam peranti mudah alih masing-masing sepanjang masa.

“Apabila sesorang individu itu disahkan positif COVID-19, notifikasi akan diperoleh menerusi aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan kebenaran untuk berkongsi maklumat kontak rapat yang dikesan.

“Selepas kebenaran diberikan, Kementerian Kesihatan akan menjalankan aktiviti pengesanan kontak rapat yang dikenal pasti,” kata kenyataan MOSTI.

Namun, jika individu yang didapati positif COVID-19 tidak memberikan kebenaran, MySejahtera tidak akan memberikan akses kepada Kementerian Kesihatan dan aktiviti pengesanan kontak rapat akan dilakukan secara manual.

“Aplikasi MySJ Trace menggunakan ‘anonymized Unique User ID’ (UUID) dan tidak mengumpul maklumat pengguna serta geo-lokasi. Data ini hanya boleh diakses oleh Kementerian Kesihatan dan disimpan dalam peranti pengguna untuk tempoh 14 hari.

“Keseluruhan proses pengesanan kontak dan penyimpanan data juga adalah dijamin keselamatan dan kerahsiaannya oleh kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Dengan adanya fungsi MySJ Trace ini, modul daftar keluar atau check-out akan diberhentikan dan dikeluarkan daripada aplikasi MySejahtera.

Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan mengemas kini aplikasi Mysejahtera bagi mengaktifkan MySJ Trace.