(VIDEO) Long Tiger akhirnya dicekup.

JOHOR BAHRU: Lelaki berketurunan Rohingya, Long Tiger yang dikehendaki polis selepas melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, dekat sini dipercayai sudah diberkas polis.

Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab. Hamid, 32, dipercayai ditahan dalam satu operasi khas yang dilaksanakan bagi memburunya.

Butiran penangkapan suspek yang bersembunyi sejak 13 hari lalu dijangka diberikan oleh Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang akan mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor esok.

Dalam kejadian pada pukul 11.55 pagi, 15 Disember lalu, Ab. Hamim bertindak meloloskan diri melalui pintu utama Mahkamah Majistret Tangkak sebelum perbicaraan terhadapnya di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan bermula.

Baru-baru ini Polis menahan sepasang suami isteri yang disyaki rakan subahat kepada Long Tiger.

Pasangan warga tempatan berusia 41 dan 43 tahun itu ditahan di Balai Polis Bukit Gambir, kira-kira 12.30 tengah malam.

Malah, dua daripada empat anggota polis yang ditahan sebelum ini terlibat secara langsung dengan aspek kecuaian sehingga Long Tiger meloloskan diri kini ditahan kerja sehingga habis proses rayuan sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Sementara itu, Long Tiger juga masih mempunyai status perbicaraan di Mahkamah Sesyen Muar membabitkan kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan kini disiasat mengikut Seksyen 224 kanun sama kerana lari daripada tahanan.