Di mana Najd tempat timbul tanduk syaitan?

HADIS PERTAMA

عن ابن عمر رضي الله عنهما أنه سمع رسول الله صلى الله عليه وهو مستقبل المشرق يقول : ألا إن الفتنة ها هنا ، ألا إن الفتنة هاهنا ، ألا إن الفتنة هاهنا ، من حيث يطلع قرن الشيطان . رواه الشيخان

وفي رواية لمسلم : رأس الكفر من هاهنا ، من حيث يطلع قرن الشيطان

ففي هذا الحديث لفظ : المشرق

Daripada Ibnu Umar RH bahawa dia mendengar Rasulullah SAW ketika baginda menghadap ke timur lalu bersabda : Sesungguhnya fitnah (muncul) dari sini, Sesungguhnya fitnah (muncul) dari sini, Sesungguhnya fitnah (muncul) dari sini, dari sinilah akan muncul tanduk syaitan. Riwayat Shaikhan (Bukhari & Muslim)

Dalam riwayat Muslim : Kepala kukufuran (muncul) dari sini, dari sini muncul tanduk syaitan.

Dalam hadis ini digunakan lafaz : timur.

 

Riwayat lain bagi menjelaskan hadis yang pertama di atas :-

عن ابن فضيل عن أبيه قال : سمعت سالم بن عبدالله بن عمر يقول : يا أهل العراق! ما أسألكم عن الصغيرة وأركبكم للكبيرة ! سمعت أبي عبدالله بن عمر يقول : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : إن الفتنة تجيء من ههنا ، وأومأ بيده نحو المشرق ، من حيث يطلع قرنا الشيطان وأنتم يضرب بعضكم رقاب بعض ….. الحديث . رواه مسلم بهذا اللفظ .

Dari Ibnu Fudayl, dari ayahnya, dia berkata: Aku mendengar Salem bin Abdullah bin Umar berkata: Wahai penduduk Iraq! Betapa peliknya kalian tanyakan tentang dosa kecil dan kalian melakukan dosa yang besar! Saya mendengar bapaku Abdullah bin Umar berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Fitnah datang dari sini, dan dia mengisyaratkan dengan tangannya ke arah timur, dari sini timbul dua tanduk syaitan, dan kalian akan membunuh sesama sendiri….. Sehingga akhir hadis. Muslim meriwayatkannya dengan lafaz ini.

 

HADIS KEDUA

وعن ابن عمر رضي الله عنهما قال : ذكر النبي صلى الله عليه وسلم فقال : اللهم بارك لنا في شامنا ، اللهم بارك لنا في يمننا ، قالوا : وفي نجدنا ، قال : اللهم بارك لنا في شامنا ، اللهم بارك لنا في يمننا ، قالوا : يا رسول الله وفي نجدنا فأظنه قال الثالثة : هناك الزلازل والفتن ، وبها يطلع قرن الشيطان . رواه البخاري والترمذي وأحم

وفي هذا الحديث لفظ : نجدنا .

Dari Ibnu Umar radhiyallahu ‘anhuma, dia berkata: “Nabi s.a.w. telah bersabda: Ya Allah, berkatilah Syam kami. Ya Allah, berkatilah Yaman kami”, Mereka berkata : Ya rasulullah untuk Najd kami, Nabi s.a.w. bersabda: Ya Allah, berkatilah Syam kami. Ya Allah, berkatilah Yaman kami”, Mereka berkata : Ya rasulullah untuk Najd kami, saya rasa dia berkata sehingga kali ketiga: Di sana terdapat gempa-gempa bumi dan fitnah-fitnah, dan di sana akan timbul tanduk syaitan. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Al-Tirmizi dan Ahmad.

Dan dalam hadis ini menggunakan lafaz: Najd kami.

 

Riwayat lain bagi menjelaskan hadis kedua di atas:-

وعن ابن عباس رضي الله عنهما قال دعا النبي صلى الله عليه وسلم : اللهم بارك لنا في صاعنا ومدنا ، وبارك لنا في شامنا ويمننا . فقال رجل من القوم يا نبي الله وفي عراقنا . قال : إن بها قرن الشيطان ، وتهيج الفتن ، وإن الجفاء بالمشرق

قال الهيثيمي في المجمع : رواه الطبراني في الكبير ورجاله ثقات

Dari Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam berdoa: Ya Allah, berkatilah pada gantang kami dan cupak kami, dan berkatilah pada Syam kami dan pada Yaman kami. Seorang lelaki dari orang ramai berkata, Wahai Nabi Allah, dan pada Iraq kami. Baginda bersabda: Sesungguhnya di sana ada tanduk syaitan dan akan timbul fitnah, dan sesungguhnya kejahatan itu dari timur.

Al-Haythimi berkata dalam Al-Mujma’: Al-Tabarani meriwayatkannya didalam Al-Kabir, dan para perawinya adalah thiqah (terpercaya).

 

KATA-KATA ULAMA MENGENAI NAJD DIDALAM HADIS SEBELUM MUNCULNYA SHEIKH MUHAMMAD BIN ABDUL WAHHAB.

1)Al-Imam Al-Khatabi (Wafat:388) seperti yang di laporkan oleh Imam Ibnu Hajar (13/47) : “Najd berada diarah timur, Sesiapa yang berada di Madinah maka arah Najd-nya adalah padang pasir Iraq dan sekitarnya, dan itulah arah timur penduduk Madinah, dan makna asal Najd itu adalah kawasan tanah tinggi berlawanan pula dengan makna Ghaur iaitu kawasan tanah rendah, adapun Tihamah termasuk kawasan tanah rendah dan Mekah berada di Tihamah”.

2)Al-Imam Ibnu Abdul Bar di dalam kitabnya Al-Tamhid (017/12) : “Hadis ini adalah suatu tanda dari tanda-tanda kenabian Nabi SAW dalam mengkhabarkan sesuatu yang akan berlaku selepas kewafatannya dan “fitnah akan berlaku di sini” maksudnya berlaku banyak fitnah-fitnah…. maka Nabi SAW mengkhabarkan akan muncul fitnah-fitnah daripada arah timur….Seperti itulah banyaknya fitnah-fitnah yang berlaku seperti perang Jamal, perang Siffin, pembunuhan cucu Nabi SAW Al-Hussein dan selainya seperti yang telah diingatkan oleh baginda Nabi SAW daripada fitnah-fitnah di Iraq dan Khurasan sehingga ke hari ini”.

3)Al-Imam Al-Kirmani didalam kitab syarahannya bagi kitab sahih Al-Bukhari (24/168) : “Sesiapa yang berada di Madinah A-Thaiyibah – Selawat dan salam kepada penghuninya (Nabi SAW) – maka arah Najd-nya adalah padang pasir Iraq, dan ia adalah arah timur penduduknya (Madinah)”.

4)Al-Hafiz Ibnu Hajar (wafat:852) didalam Al-Fath (6/352) berkata mengenai kata-kata Nabi SAW “Kepala kekufuran dari arah timur” : ” Ini menunjukkan mereka yang bersangatan kufur itu adalah orang majusi, kerana kerajaan parsi dan orang arab yang taat kepada mereka (penduduk Iraq yg diperintah Parsi) adalah dari arah timur kepada Madinah.

 

*NOTA PENTING

# Tidak ada seorang pun ulama dari kalangan salaf mahupun khalaf yang mengatakan bahawa Najd yang disebut didalam hadis Nabi SAW itu adalah Najd yang berada di Saudi sekarang kecuali syubhah dan fitnah yang ditimbulkan di zaman ini selepas munculnya dakwah yang dibawa oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab.

# Tidak ada arah utara atau selatan ketika zaman nabi SAW kecuali yang ada hanya pembahagian arah kepada timur dan barat sahaja seperti yang kerap disebut didalam Alquran (Al-masyriq dan Al-Maghrib).

 

SEBAHAGIAN KECIL DARI FITNAH-FITNAH YANG BERLAKU DI NAJD AL-IRAQ SEPERTI YANG DISEBUT DIDALAM HADIS.

-Fitnah kepada Saidina Uthman bermula dari Iraq

-Fitnah perang Jamal berlaku di Iraq

-Saidina Ali Karamallahu wajhah syahid di Iraq

-Syahidnya saidina Hussein RA di Iraq

-Perang Siffin berlaku di Iraq

-Fitnah Hajjaj yang banyak pembunuhan dan perang berlaku di zamannya juga di Iraq

-Munculnya Khawarij di Iraq

-Munculnya falsafah dan penterjemahan buku falsafah yunani di Iraq

-Munculnya seruan kepada Ilmu kalam setelah penterjemahan Ilmu falsafah Yunani berlaku di Iraq.

-Munculnya Muktazilah di Iraq

-Munculnya Rafidhah di Iraq

-Munculnya Qodariah di Iraq

-Munculnya Jabariah di Iraq

-Munculnya kumpulan Ahli-ahli sufi dan tarikat-tarikatnya yang banyak di Iraq.

 

GEMPA-GEMPA BUMI YANG BERLAKU DI NAJD AL-IRAQ SEPERTI YANG DISEBUT DIDALAM HADIS.

-Mengenai gempa bumi, didapati tidak pernah berlaku gempa bumi di Hijaz (Najd Al-Yamamah, Saudi)

-Kebanyakan wilayah Iraq telah mengalami lebih daripada 1500 gempa bumi yang berbeza dari tahun (1900 hingga sekarang), iaitu purata lebih daripada (12) gempa bumi setiap tahun (satu gempa bumi untuk setiap bulan), dan kira-kira 165 gempa bumi besar dalam sejarah berlaku dalam tempoh antara tahun (1260) SM dan tahun 1900, iaitu purata gempa bumi bagi setiap (12) tahun.

-Iraq tidak mempunyai balai cerap untuk mengukur kekuatan gempa bumi sehingga pada tahun 1979, apabila balai cerap Baghdad mula beroperasi, kemudian balai cerap Mosul, dan kemudian balai cerap Rutba, kemudian balai cerap Sulaymaniyah.

-Pada tahun 1987, gempa bumi melanda kawasan Rabia (barat Mosul) dengan magnitud 3.9.

-Pada tahun 1991 Masihi, gempa bumi melanda bandar Erbil (Iraq Utara) dengan magnitud 5.4.

-Pada tahun 1994, gempa bumi melanda wilayah Khan al-Nas (selatan Iraq), dengan magnitud 4

-Pada tahun 1994, gempa bumi melanda bandar Hatra, dengan magnitud 4.1.

-Pada tahun 1999, gempa bumi melanda kota Sulaymaniyah (timur laut Iraq), dengan magnitud 2.5 hingga 3.

*Sumber: (Jabatan Pemantauan Seismik Pihak Berkuasa Meteorologi Am Iraq)

MENJAWAB RENTETAN SYUBHAH-SYUBHAH.

SYUBHAH PERTAMA

# Iraq lebih berada di Utara Madinah & Najd Al-Yamamah berada di Timur Madinah tempat terbit matahari?

 

JAWAPAN KEPADA SYUBHAH YANG PERTAMA.

1)Tiada arah utara dan selatan di zaman nabi SAW kecuali timur dan barat seperti banyak yang disebut di dalam Alquran masyriq (timur) dan maghrib (barat).

2)Matahari tidak terbit hanya pada satu tempat di sebelah timur kerana kedudukan bumi kita, ketika matahari terbit betul-betul di atas garisan khatulistiwa penomena ini dipanggil Equinoks dan apabila matahari terbit di arah timur yang lebih utara atau selatan fenomena ini dipanggil solstis Jun atau Disember, Ketika Solstis Jun matahari akan terbit hampir dengan arah utara dan kemuncak solstis Jun adalah pada 21 Jun setiap tahun sebelum matahari kembali tempat asalnya di garisan khatulistiwa pada bulan september dan terus bergerak kearah selatan sehingga kemuncak solstis Disember iaitu pada 20 – 22 Disember setiap tahun.

3)Orang arab di zaman itu berdagang ke Syam yang berada di utara ketika perubahan musim sejuk ketika matahari berada lebih selatan di Yaman dan sebaliknya ketika musim berubah apabila matahari mula terbit lebih ke utara maka mereka akan berdagang ke Yaman yang lebih selatan kerana cuaca tidak panas.

Solstis Jun – Pemandangan matahari terbit dari Masjid Al-Nabawi ketika 21 Jun 2020 pada pukul 6:30am waktu Saudi.
Solstis Disember – Pemandangan matahari terbit dari Masjid Al-Nabawi ketika 21 Disember 2020 pada pukul 7:59am waktu Saudi.

4)Dajjal muncul dari arah bumi timur yang disebut Khurasan, dan Khurasan tidak betul-betul tepat di timur Madinah dan tempat tepat terbit matahari tetapi tetap disebut timur oleh nabi SAW.

عَنْ عَمْرِو بْنِ حُرَيْثٍ عَنْ أَبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ قَالَ حَدَّثَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الدَّجَّالُ يَخْرُجُ مِنْ أَرْضٍ بِالْمَشْرِقِ يُقَالُ لَهَا خُرَاسَانُ يَتْبَعُهُ أَقْوَامٌ كَأَنَّ وُجُوهَهُمْ الْمَجَانُّ الْمُطْرَقَةُ

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa salam telah menceritakan kepada kami, beliau bersabda, “Dajjal akan muncul dari bumi (tanah) [أَرْضٍ] yang berada di timur [بِالْمَشْرِقِ] yang disebut ia dengan nama Khurasan ( خراسان ) , ia diikuti oleh kaum-kaum yang wajah mereka bagai perisai besi yang ditempa.”…. (Tirmidzi No.2237 )

 

SYUBHAH KEDUA

# Tempat yang bernama Iraq belum ada ketika zaman nabi SAW berdasarkan hadis dari Ibnu Umar beliau berkata :

وَقَّتَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَرْنًا لِأَهْلِ نَجْدٍ وَالْجُحْفَةَ لِأَهْلِ الشَّأْمِ وَذَا الْحُلَيْفَةِ لِأَهْلِ الْمَدِينَةِ قَالَ سَمِعْتُ هَذَا مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَبَلَغَنِي أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ وَلِأَهْلِ الْيَمَنِ يَلَمْلَمُ وَذُكِرَ الْعِرَاقُ فَقَالَ لَمْ يَكُنْ عِرَاقٌ يَوْمَئِذٍ

“ Rasulullah Shallahu ‘alaihi wa sallam telah menentukan miqat bagi penduduk Najd di Qarn, Juhfah bagi penduduk Syam, Dzul Hulaifah bagi penduduk Madinah. Berkata Ibnu Umar “ Aku mendengar ini dari Nabi Shallahu ‘alaihi wa sallam dan telah sampai kepadaku bahwa Nabi Shallahu ‘alaihi wa sallam bersabda “ Bagi penduduk Yaman dari Yalamlam. Kemudian disebutkan Iraq, maka beliau menjawab “ Ketika itu belum ada Iraq “. (HR. Bukhari : 7344) .

 

JAWAPAN KEPADA SYUBHAH YANG KEDUA.

1)Al-Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqolani menjelaskan bahawa maksud “tidak ada Iraq pada masa itu” ialah orang islam belum menguasai dan memerintah Iraq ketika itu, dan tidak ramai orang Islam maka tidak ada keperluan menentukan miqat bagi Iraq.

2)Al-Imam Al-Hafiz Ibnu Abdul Bar mengatakan : Imam Al-mawardi dan Ulama-ulama selainnya mengatakan tiada beza antara Syam & Iraq pada ketika itu.

3)Mengikut catatan sejarah nama Iraq telah wujud sekitar tahun 6 masihi lagi.

4)Sheikh Muhammad bin Soleh Al-Uthaimin berkata ” yang di maksudkan Ibnu Umar dengan perkataan Iraq adalah Basrah dan Kufah Kerana belum wujud keduanya sehinggalah pada zaman Umar RA,

5)Menurut pakar : “Realiti saintifik membuktikan dan mengesahkan bahawa pada masa itu Iraq adalah Iraq, tetapi orang arab mungkin tidak pergi ke sana!! Atau mereka tidak pernah mendengarnya?! ..” .

6)Banyak hadis-hadis nabi SAW menyebut mengenai Iraq diantaranya hadis riwayat muslim:-

عن عبد الله بن حواله أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: “ستجدون أجناداً، جنداً بالشام، وجنداً بالعراق، وجنداً باليمن”، قال عبد الله: فقمت فقلت: خِرْ لي يا رسول الله! فقال: “عليكم بالشام، فمن أبى فليلحق بيمنه، وليستق من عند ربه، فإن الله عز وجل تكفل لي بالشام وأهله” صحيح مسلم.

Daripada Abdullah bin hawalah bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Kalian akan mendapati kumpulan-kumpulan tentera, sekumpulan di Syam, sekumpulan di Iraq, sekumpulan di Yaman” berkata Abdullah : maka aku berdiri dan berkata: pilihlah (kumpulan) untuk aku (jika aku menemui zaman itu) wahai Rasulullah! Maka baginda SAW bersabda: Hendaklah engkau memilih Syam, maka sesiapa yang enggan maka bersatulah di Yaman, Hindarilah pengkhianatan di sisi tuhannya, maka sesungguhnya Allah Azawajalla memberi jaminan kepadaku untuk negeri Syam dan penduduknya ” Sahih Muslim.

 

KESIMPULAN.

-Jelas Najd yang di maksudkan di dalam hadis adalah Najd Al-Iraq dan bukannya Najd Al-Yamamah di Saudi Arabia.

-Tanduk syaitan tidak timbul di Mekah bahkan Mekah adalah tanah yang terbaik dan paling dicintai Allah dan nabi SAW bahkan nabi Ibrahim mendoakan Mekah.

عَنْ عبداللَّهِ بْنِ عَدِيِّ ابْنِ الْحَمْرَاءِ أَنَّهُ سَمِعَ النَّبِيَّ ﷺ يَقُولُ وَهُوَ وَاقِفٌ بِالْحَزْوَرَةِ فِي سُوقِ مَكَّةَ: وَاَللَّهِ إنَّكِ لَخَيْرُ أَرْضِ اللَّهِ، وَأَحَبُّ أَرْضِ اللَّهِ إلَى اللَّهِ، وَلَوْلَا أَنِّي أُخْرِجْتُ مِنْكِ مَا خَرَجْتُ. رَوَاهُ أَحْمَدُ وَابْنُ مَاجَهْ وَالتِّرْمِذِيُّ وَصَحَّحَهُ

Daripada Abdullah bin Adi bin Hamra’ bahawa dia telah mendengar Nabi SAW berkata sedang baginda berdiri di Hazwarah di pasar Mekah: “Demi Allah sesungguhnya engkau (Mekah) bumi Allah yang terbaik, dan bumi Allah yang paling Allah cintai, Jikalaulah tidak aku dihalau keluar daripada engkau nescaya aku tidak akan keluar. Riwayat Ahmad, Ibnu Majah, Attirmizi dan dia mensahihkannya.

وَعَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ لِمَكَّةَ: مَا أَطْيَبَكِ مِنْ بَلَدٍ وأَحبَّكِ إلَيَّ، وَلَوْلَا أَنَّ قَوْمِي أَخْرَجُونِي مِنْكِ مَا سَكَنْتُ غَيْرَكِ. رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ وَصَحَّحَهُ

Daripada Ibnu Abbas berkata: Telah berkata Rasulullah SAW kepada Mekah: Betapa engkau negeri terbaik dan dicintai bagiku, kalaulah tidak kaumku yang mengeluarkan aku darimu nescaya tidak aku duduki melainkan hanya di dalam engkau. Riwayat Attirmizi dan dia mensahihkannya.

-Nabi SAW, Para sahabat, Ulama & Tok guru mengatakan Najd itu adalah Iraq dan jika ada sebagian orang mengatakan sebaliknya maka kita ikutilah Nabi SAW.

-Walaupun Dalil-dalil menunjukkan Najd itu adalah Iraq bukan bermaksud Negara Iraq itu teruk dan penduduk Iraq itu semuanya adalah orang-orang jahat seperti dakwaan sebahagian orang yang maksud tanduk syaitan itu ialah Sheikh Muhammad bin Abdul Wahhab kerana beliau berasal dari Najd Al-Yamamah dan mereka menyangka Najd itu adalah di Saudi padahal ianya di Iraq atau Najd Al-Iraq.