Dendam lama kongsi gelap punca ah long ditetak mati.

KLANG: Seorang lelaki yang maut ditetak di hadapan dua anaknya selepas tiga beranak itu makan tengah hari di sebuah restoran di Bandar Bukit Tinggi, di sini dua minggu lalu dipercayai berpunca akibat dendam lama antara dua kumpulan kongsi gelap.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, perkara itu terdedah selepas polis menyoal siasat 16 suspek dipercayai ahli kongsi gelap, yang ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Katanya, polis juga sedang menjalankan siasatan mengenai penglibatan lain-lain ahli kumpulan itu.

“Hasil siasatan mendapati punca kejadian adalah disebabkan dendam lama antara dua kumpulan kongsi gelap yang dianggotai mangsa dan suspek,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Dengan penahanan 16 suspek termasuk suspek utama dalam beberapa siri tangkapan di Lembah Klang seperti Sri Petaling serta beberapa lokasi di Johor seperti Ledang dan Muar, Arjunaidi percaya kes itu berjaya diselesaikan.

Katanya, polis kini dalam peringkat melengkapkan siasatan dan akan merujuk Jabatan Peguam Negara untuk arahan pendakwaan.

Terdahulu, Arjunaidi memberitahu, salah seorang suspek memandu anggota polis ke sebuah kawasan lapang di Taman Sentosa, di sini untuk menunjukkan lokasi pakaian mereka dibakar.

“Suspek kemudian membawa polis ke Sungai Klang berhampiran Jambatan Kota untuk menunjukkan senjata yang digunakan dalam pembunuhan itu. Mereka dipercayai membuang senjata dipercayai parang ke dalam sungai tersebut,” ujarnya.

Menurutnya, Unit Tindakan Khas (UTK), Pasukan Selam, Pasukan Marin Klang dan Forensik Polis Diraja Malaysia terlibat dalam usaha mencari senjata yang dibuang suspek.

Beliau turut memaklumkan yang polis mengesan sebuah lokasi homestay di Bandar Botanic Klang yang disewa suspek sebelum dan selepas kejadian.

Dalam kejadian 6 November lalu, mangsa bersama dua anak lelakinya berusia 18 dan 10 tahun datang ke restoran tersebut pada pukul 11.50 pagi.

Sejurus selesai makan, tiga beranak itu berjalan kaki ke arah kereta Toyota Vellfire yang berada kira-kira 30 meter dari premis berkenaan.

Sewaktu mangsa mahu membuka pintu kereta itu, dia bagaimanapun didatangi tiga lelaki yang bersenjatakan parang dan terus menetaknya. Kedua-dua anak mangsa bagaimanapun selamat tanpa sebarang kecederaan.