Bayaran Geran Khas Prihatin Selasa depan.

PUTRAJAYA: Bayaran Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 fasa dua Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) RM500 akan dibuat mulai Selasa depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembayaran itu bakal memanfaatkan lebih sejuta peniaga kecil dan sederhana (PKS) mikro yang layak.

“Pembayaran dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan dalam sistem GKP dan semakan status kelulusan boleh dibuat mulai Isnin melalui https://gkp.hasil.gov.my,” katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, bayaran tersebut adalah lanjutan daripada bayaran fasa pertama RM500 yang telah dibuat pada September lalu.

“Secara keseluruhan, setiap peniaga terbabit menerima bayaran RM1,000 di bawah GKP 4.0 bagi meringankan beban kewangan mereka akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Tambah beliau, inisiatif itu melibatkan penerima sedia ada GKP 1.0, GKP 2.0, GKP 3.0 dan penerima baharu GKP 4.0 dengan implikasi kewangan RM500 juta.

“Secara keseluruhan, jumlah peruntukan yang telah dan akan disalurkan kepada lebih sejuta PKS mikro di bawah GKP semenjak Covid-19 melanda negara adalah RM6.08 bilion.

“Kerajaan berharap bantuan tunai berterusan kepada PKS mikro yang layak ini dapat membantu aliran tunai di samping menggerakkan dan memulihkan kembali perniagaan mereka,” katanya.